fb fb fb fb fb

Golongan berisiko disaran dapatkan suntikan vaksin influenza

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 16 Julai - Tujuh daripada 10 warga emas berumur 65 tahun ke atas berisiko tinggi menghadapi komplikasi sekiranya dijangkiti virus Influenza.

Perunding Respiratori, Jabatan Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Madya Dr. Poh Mau Ern berkata virus tersebut menjangkiti saluran pernafasan dan merebak dari individu yang dijangkiti kepada individu yang lain melalui titisan salur pernafasan apabila bercakap, batuk atau bersin.

Justeru, beliau menggalakkan orang ramai untuk mendapatkan suntikan vaksin Influenza setiap tahun bagi meningkatkan imuniti badan agar tidak dijangkiti virus tersebut.

(Perunding Respiratori, Jabatan Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),
Profesor Madya Dr. Poh Mau Ern)

"Kita memang menggalakkan terutama golongan yang berisiko sebab vaksin ini sudah ada lama, dia bukan vaksin MRNA yang kita baru temui.

"Kesan sampingan itu hampir tiada dan jika ada mungkin demam sikit atau otot rasa sengal sikit tapi sangat selamat untuk diambil oleh golongan berisiko dan orang muda untuk kita lindungi golongan yang lebih terdedah," katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.

Dr. Poh turut menasihati orang ramai untuk terus mengamalkan langkah kawalan kesihatan seperti pencegahan virus COVID-19 susulan ciri-ciri penyakit tersebut yang hampir sama.

Media Baharu