CAMERON HIGHLANDS, 6 Januari- Proses perolehan bagi menyegerakan kerja baik pulih cerun di Sungai Ruil, sini yang menjejaskan 17 keluarga Orang Asli di kawasan berkenaan sejak Oktober lalu akan dipercepatkan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembaikan cerun tersebut dijangka mengambil masa dua tahun dan membabitkan peruntukan RM3 juta.
Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, pihaknya akan berusaha memendekkan tempoh baik pulih berkenaan bagi membolehkan semua mangsa dapat pulang awal ke kediaman mereka.
"Tempoh dua tahun bagi kami terlalu panjang, biarpun TNB (Tenaga Nasional Berhad) memberikan penyewaan untuk kuaters bagi mereka selama dua tahun.
"Saya harap kerjasama antara KKDW, JAKOA (Jabatan Kemajuan Orang Asli) dan JKR (Jabatan Kerja Raya) serta lain-lain agensi akan dapat memendekkan bagi tempoh pemindahan semula 17 keluarga ini," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi pasca bencana di Kampung Orang Asli Sungai Ruil, sini.
Kesemua keluarga terdiri dari 88 penduduk itu kini ditempatkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sungai Ruil dan dipindahkan ke kuarters TNB akhir bulan ini sehingga rumah mereka selesai dibaik pulih pada November 2025.
JAKOA akan menanggung sepenuhnya pembayaran sewa kuarters TNB tersebut.
TNB sebelum ini bersetuju menawarkan sewa RM500 seunit dan mengecualikan bayaran deposit sewaan selama tiga bulan.
Insiden tanah runtuh pada 12 Oktober lalu di projek penempatan semula Orang Asli Sungai Ruil itu berpunca daripada paip bawah tanah yang pecah dan kekerapan hujan terutama pada waktu malam.
Enam rumah serta tiga motosikal terjejas dalam kejadian berkenaan.