fb fb fb fb fb

Tanah runtuh Taman Halaman: Penghuni berdekatan dinasihat berpindah buat sementara waktu

(FOTO BOMBA SELANGOR)

KUALA LUMPUR, 9 Disember- Enam individu termasuk seorang wanita warga emas terselamat dalam insiden tanah runtuh berketinggian sembilan meter di Taman Halaman, Ampang, petang semalam.

Rumah yang didiami mereka turut mengalami kerosakan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis menerusi satu kenyataan berkata pihaknya menerima laporan berhubung runtuhan itu pada 6.14 petang, sebelum tujuh anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang, digerakkan dan tiba di lokasi lima minit kemudian.

Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati daripada dua buah rumah yang terlibat, hanya sebuah rumah yang berpenghuni dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Runtuhan tebing berukuran anggaran 9 meter X 15 meter persegi telah berlaku, dan mengenai bahagian belakang dua buah rumah dengan satu rumah kosong dan satu rumah berpenghuni.

“Ketika kejadian,  terdapat enam orang berada dalam rumah tersebut iaitu seorang wanita warga emas berusia 70-an, seorang lelaki dan seorang wanita dewasa masing-masing berusia 40-an dan tiga remaja perempuan berumur di antara 10 hingga 16 tahun,” katanya.

Norazam berkata kesemua mereka dinasihatkan keluar dari rumah buat sementara waktu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini

Beliau berkata ketika ini, bomba sedang membuat pemantauan di lokasi kejadian sebagai langkah berjaga-jaga.

Sementara itu, penghuni rumah yang berdekatan dengan lokasi runtuhan tanah di Taman Halaman, Ampang dinasihatkan agar berpindah buat sementara waktu sebagai langkah berjaga-jaga. 

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hulu Langat Dr Ani Ahmad berkata arahan itu dikeluarkan susulan cuaca masih hujan malam ini dan keadaan cerun di belakang rumah penduduk terbabit yang dikhuatiri tahap kestabilannya. 


(FOTO BOMBA SELANGOR)

Media Baharu