fb fb fb fb fb

Tanah runtuh: 11 ditemukan meninggal dunia - APM

(Korban tragedi tanah runtuh di Batang Kali/
Foto awam)

BATANG KALI, 16 Disember- Seramai 11 orang disahkan meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan berhampiran sebuah ladang organik, Father's Organic Farm, di Gohtong Jaya, setakat 11.00 pagi ini.

Menurut sumber Angkatan Pertahanan Awam (APM), keseluruhan 94 mangsa terlibat dalam kejadian itu dengan 50 daripadanya telah dijumpai dan sebahagian mereka sudah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor melaporkan lapan maut dalam kejadian tersebut menerusi kenyataan yang dikeluarkan setakat pukul 10.35 minit pagi tadi.

"Lapan meninggal dunia membabitkan enam wanita, seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak, manakala tujuh lagi dilaporkan cedera.

"Keseluruhan mangsa adalah seramai 92 orang dengan 69 daripadanya berjaya dibawa keluar menerusi operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Bagaimanapun, lapan daripadanya ditemukan meninggal dunia," jelas kenyataan itu.

Menurut JBPM Selangor, angka korban dijangka akan meningkat susulan masih ramai mangsa belum dijumpai.

"Operasi SAR melibatkan pelbagai pihak termasuk JBPM, Persatuan Bomba Sukarela (PBS), Bomba Swasta, Polis Diraja Malaysia (PDRM), APM, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART)," katanya.

JBPM Selangor memaklumkan ketinggian runtuhan dianggarkan setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan sebesar tiga ekar (1.21 hektar).

Pihak itu menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada pukul 2.24 pagi tadi.

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu, BBP Rawang dan BBP Genting Highlands turut dikerahkan ke lokasi dan tiba pada pukul 3.04 pagi.

(Mangsa cedera dalam kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm,
Jalan Genting, Batang Kali)

Media Baharu