PAPAR, 14 September – Satu kejadian tanah runtuh di cerun Jalan Donggongon Papar Spurs pagi tadi menyebabkan laluan utama dari Papar ke Kota Kinabalu tidak dapat dilalui sepenuhnya.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Papar memaklumkan laluan lencongan sementara telah disediakan bagi kegunaan pengguna jalan raya sementara kerja-kerja pembersihan sedang giat dijalankan di lokasi kejadian.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Papar dalam kenyataan berkata, kejadian dilaporkan berlaku sekitar pukul 9.30 pagi dan operasi pemantauan sedang dijalankan.
APM turut menegaskan langkah kawalan keselamatan telah dilaksanakan di kawasan berkenaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin sepanjang proses pembersihan berlangsung.