fb fb fb fb fb

Tanah runtuh jejaskan laluan Donggongon-Papar Spur

Jalan Donggongon-Papar Spur ditutup

PAPAR, 14 September – Jalan Donggongon-Papar Spur ditutup sehala susulan kejadian tanah runtuh di cerun bukit berhampiran, kira-kira 5.30 pagi tadi, dipercayai akibat hujan lebat berterusan.

Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Papar, Mohd Ibni Abdul Sabul berkata, kerja-kerja pembersihan sedang giat dijalankan kontraktor dilantik, selain pemeriksaan lanjut Cawangan Cerun JKR Sabah.

“Kita perlu pastikan cerun ini stabil sebelum laluan dibuka semula kepada awam. Buat sementara, kita kekalkan laluan lencongan dan jadikan jalan dua hala sebagai sehala,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau lokasi kejadian, yang melibatkan runtuhan cerun setinggi 100 meter dari puncak bukit serta menjejaskan jalan sepanjang 50 meter.

Menurutnya, JKR akan terus menjalankan pemantauan rapat terhadap pergerakan cerun dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin.

Sementara itu, Pegawai Daerah Papar, Muhammad Mohd Ali menasihatkan pengguna agar berhati-hati, mematuhi pelan pengurusan trafik dan arahan keselamatan sepanjang kerja pembersihan dijalankan.

“Keadaan cuaca hujan sekarang memerlukan semua pihak lebih berwaspada. Kami berharap kerja pembersihan berjalan lancar supaya laluan dapat dibuka semula dengan segera,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN