fb fb fb fb fb

Tanah runtuh hempap rumah, sepasang suami isteri terpaksa dipindahkan

Sepasang suami isteri di Kampung Mahat Mawang, Tebedu di Sarawak terpaksa dipindahkan selepas rumah mereka dihempap tanah runtuh/ RTM

TEBEDU, 14 Disember - Sepasang suami isteri di Kampung Gahat Mawang, Tebedu di Sarawak terpaksa dipindahkan selepas rumah mereka dihempap tanah runtuh lewat petang tadi.

Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Serian, Cristoper Adrian Winces, dalam kejadian sekitar pukul 6 petang itu, rumah Dominic Auh dan isteri Moni Kujen masing-masing berumur 50-an dimasuki tanah yang runtuh dari bukit bersebelahan.

Bagaimanapun kedua-dua pasangan terbabit berjaya menyelamatkan diri semasa kejadian.

Ketika dihubungi RTM di Kuching malam ini, Cristoper memaklumkan tanah susur tersebut telah memasuki kawasan ruang tamu dan bilik mereka.

Buat masa ini kedua-duanya telah dipindahkan ke rumah saudara terdekat kerana kediaman mereka tidak dapat didiami.

Dalam pada itu, bomba juga melaporkan beberapa siri banjir kilat di sekitar kawasan Tebedu petang tadi selepas hujan lebat turun lebih 3 jam.

Bagaimanapun tiada operasi pemindahan dilakukan dan air surut dengan pantas.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN