fb fb fb fb fb

Tanah runtuh Batang Kali: Satu lagi mayat kanak-kanak perempuan ditemukan

(Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani)

BATANG KALI, 17 Disember - Satu lagi mayat kanak-kanak perempuan ditemukan di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, di sini pada pukul 4.05 petang tadi.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, mangsa ke-24 itu ditemukan di bahagian sektor pencarian A iaitu Hillview.

Ia merupakan mayat ketiga yang ditemukan hari ini selepas dua mayat yang dijumpai sekitar pukul 1.05 tengah hari tadi.

“Setakat ini kita telah menjumpai 24 mangsa, terkini kita jumpa satu lagi mangsa kanak-kanak menjadikan angka korban setakat ini 24 orang, kita hantar ke Hospital Sungai Buloh untuk urusan selanjutnya. Yang lain itu, kita berdoa dan berharap operasi mencari dapat kita diselesaikan secepat mungkin,” kata beliau pada sidang media selepas meninjau operasi mencari dan menyelamat (SAR), di sini.

Jelas Acryl Sani, setakat ini sembilan lagi mangsa dikhuatiri hilang.


(Satu lagi mayat kanak-kanak perempuan ditemukan di tapak perkhemahan Father's Organic Farm)

Dalam pada itu, beliau telah mengarahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib untuk mengetuai siasatan kes tanah runtuh tersebut.

Tambah beliau, setakat ini pengurus tapak perkhemahan Fathers' Organic Farm dijadual memberi keterangan pada petang ini.

“Kami sedang menunggu (pengurus) sepatutnya petang ini dan dikatakan masih dalam perjalanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), kita tunggu dulu, kita setuju sehingga semua mangsa ditemukan dan kita akan tumpu kepada usaha berkenaan, tetapi ini tidak bermakna siasatan tidak berjalan kerana saya telah mengarahkan Ketua JSJ Selangor untuk mengetahui apa juga siasatan berkait dengan insiden ini,” ujarnya lagi.

Acryl Sani begitu pun menegaskan fokus ketika ini adalah untuk mengenal pasti identiti mangsa-mangsa yang masih belum disahkan.

Media Baharu