fb fb fb fb fb

Penemuan tulang mangsa bom atom di Pulau Ninoshima, bangkitkan duka perang

Rebun Kayo menunjukkan penemuan sisa tulang dari kawasan letupan bom atom pertama yang digugurkan ke atas Jepun 80 tahun lalu/ REUTERS

NINOSHIMA, 4 Ogos – Penyelidik universiti di Jepun, Rebun Kayo, menemukan serpihan kecil kira-kira empat kilometer dari lokasi letupan bom atom pertama yang digugurkan ke atas negara itu 80 tahun lalu.

Penyelidik berusia 47 tahun itu, menyifatkan setiap penemuan di pulau berkenaan menjadi peringatan menyayat hati bahawa kesan perang masih berterusan.

Selepas Amerika Syarikat menjatuhkan bom atom di Hiroshima pada 6 Ogos 1945 – yang membunuh kira-kira 78,000 orang serta mencederakan ramai lagi – Ninoshima dijadikan sebagai hospital lapangan.

Dalam tempoh beberapa minggu, kira-kira 10,000 mangsa, baik yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia, dibawa ke pulau tersebut.

Ramai yang maut sejurus tiba, dan apabila proses pembakaran tidak lagi mampu menampung jumlah korban, mayat-mayat itu dikebumikan dalam kubur besar.

"Bot yang sarat dengan mayat tiba di pantai ini, kemudian askar menggali lubang dan mengebumikan mereka satu demi satu," kata Kayo ketika ditemui di lokasi ekskavasi yang mula digalinya sejak 2018.

Kayo, yang berasal dari Okinawa – wilayah yang menyaksikan kematian kira-kira 90,000 orang awam semasa Perang Dunia Kedua – bersemangat untuk menjalankan kerja ini kerana jasad tiga anggota keluarganya sendiri masih tidak ditemukan hingga kini.

"Tulang-tulang ini tidak pernah dilayan secara berperikemanusiaan selama 80 tahun. Tahun ini genap 80 tahun. Mereka terbiar dalam tanah seolah-olah seperti objek," katanya.

Kayo berhati-hati mengutip serpihan tulang halus dari tanah – menambah kepada kira-kira 100 serpihan yang telah ditemukan setakat ini.

Pulau Ninoshima kini didiami kira-kira 650 orang penduduk, majoritinya warga emas. Seorang penduduk, Harune Kitano, 88 tahun, masih mengingati saat kejadian berlaku ketika beliau berada di sekolah.

"Mula-mula ada kilatan cahaya, kemudian baru bunyi letupan. Semua orang menjerit 'serangan udara, serangan udara' dan terus masuk ke dalam bangunan sekolah," katanya.

Ibu dan datuk Kitano yang berada di tanah besar ketika itu terbunuh dalam letupan. Beliau bersama neneknya menyaksikan mayat-mayat dibawa ke Ninoshima ketika mereka mencari jasad ahli keluarga mereka.

"Keadaan itu sama seperti membakar sampah. Sekarang bila saya fikir kembali, mereka timbun dan bakar begitu sahaja," katanya.

Bagi Kayo, usaha tersebut bukan sekadar pencarian tulang, tetapi satu penghormatan untuk memberi kembali maruah kepada mereka yang dikebumikan dalam kubur tidak bertanda di Ninoshima.

"Selagi tulang-tulang ini masih terbiar dalam tanah tanpa dikenang, perang itu tidak pernah berakhir. Ia tetap menjadi sebahagian daripada sejarah.

"Orang zaman sekarang, yang tidak tahu tentang perang, hanya fokus kepada pemulihan. Mereka bercakap tentang kemajuan tanpa mengingati mereka yang telah bersemadi di sini," ujar Kayo kesayuan.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI