SUBANG, 4 Ogos - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat ke Rusia atas jemputan Presiden negara itu, Vladimir Putin bagi memulakan lawatan negara selama lapan hari.
Ia dijangka memperkukuh hubungan diplomatik serta kerjasama dua hala antara Malaysia dan Rusia.
Pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda berlepas dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, pada pukul 8.55 pagi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Kesihatan Datuk Dr Dzulkefly Ahmad hadir mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka Baginda.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar; Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar; Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris; Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail serta beberapa pegawai kanan kerajaan termasuk dari Kementerian Luar Negeri.
Kunjungan itu dijangka membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan Rusia, termasuk bidang perdagangan serta pelaburan, pendidikan tinggi, teknologi dan inovasi, hubungan sesama rakyat, transformasi digital, pertanian, keselamatan makanan selain isu-isu serantau dan antarabangsa.
Selain itu, beberapa pertemuan rasmi bersama kepimpinan tertinggi Rusia turut dijadualkan, termasuk dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Lawatan itu turut memberi ruang untuk memperkukuh persefahaman antara kedua-dua negara yang telah menjalinkan hubungan diplomatik sejak lebih tiga dekad lalu.
Perjalanan diplomatik itu sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa berteraskan prinsip saling menghormati, keamanan dan kemakmuran bersama.