KULIM, 4 Ogos - Semua pihak diseru menyumbang idea dan tenaga untuk mengukuhkan fungsi KHTP Skills Centre di Kulim Hi-Tech Park yang secara tidak langsung akan menjadikan Kedah sebagai hab kemahiran negara.
Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bertitah, KHTP Skills Centre yang merupakan anak syarikat Kulim Technology Park Corporation Sdn. Bhd. dikenali sebagai pusat latihan teknikal dengan fungsi yang unik.
Pusat latihan teknikal itu turut berperanan memastikan penempatan semula pelatih dalam industri selepas tamat tempoh latihan.
"Ia membuktikan bahawa latihan teknikal dan profesional yang dilaksanakan di KHTP Skills Centre adalah selari dengan keperluan industri, serta berkesan dalam melahirkan tenaga kerja berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran global," titah baginda.
Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Majlis Anugerah "Menjulang Aspirasi, Menjunjung Impian" KHTP Skills Centre sesi 2024/2025 di Kulim Golf Club.
Seramai 200 pelatih menamatkan sesi latihan teknikal mengikut pengkhususan masing-masing dan kini bekerja di industri perkilangan di Kedah dan seluruh negara.
Dalam titah ucapan yang sama, Tengku Sarafudin Badlishah turut menasihati ibu bapa, waris dan penjaga agar memberikan kebebasan kepada anak mereka untuk mencorak peluang kerjaya dalam bidang teknikal.
Titah baginda, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah bidang yang sedang berkembang, terutamanya di Kedah dengan kemasukan pelaburan industri yang bertambah saban tahun.
Tengku Sarafudin Badlishah turut mengalu-alukan penyertaan lebih banyak syarikat korporat, agensi kerajaan dan swasta untuk menaja pelajar dalam bidang latihan teknikal.
Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada individu, malah menyumbang kepada pembangunan ekosistem modal insan negeri Kedah dan negara secara amnya.