fb fb fb fb fb

Lebih 11,000 peserta sertai NAVY RUN 25

Foto Facebook Tentera Laut Diraja Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Ogos - Lebih 11,000 peserta menyertai NAVY RUN 25 yang berlangsung di Dataran DBKL, di sini semalam, menjadikannya antara acara larian terbesar anjuran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) setakat ini.

Program ini diadakan bersempena KL Car Free Morning yang menghimpunkan warga TLDM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), veteran serta masyarakat awam dari pelbagai latar belakang sebagai usaha memperkukuh hubungan strategik antara institusi pertahanan dan rakyat, di samping mempromosikan gaya hidup sihat.

Pelepasan peserta disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr. Zulhelmy Ithnain serta Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris, menandakan solidariti dan kerjasama erat antara cabang utama ATM.

Edisi ketiga NAVY RUN ini turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti senamrobik, persembahan Pancaragam Pusat TLDM dan cabutan bertuah kepada peserta bagi menceriakan suasana hujung minggu.

Program ini juga berjaya memberikan impak positif kepada perkhidmatan TLDM dalam memperkukuh kehadiran dan keterlibatan bersama komuniti awam, selaras dengan aspirasi TLDM untuk terus mendekati masyarakat menerusi pendekatan yang lebih terbuka dan inklusif.

TLDM menyasarkan penganjuran NAVY RUN diteruskan sebagai program tahunan dan bagi tahun hadapan, ia dijangka berlangsung pada awal Ogos 2026.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN