KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Cadangan agar peruntukan tetap disalurkan setiap tahun kepada kerajaan negeri bagi tujuan penyelenggaraan sungai dan pengurusan banjir disambut baik, namun perlu diperhalus dari sudut dasar serta perundangan sedia ada.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, meskipun Kerajaan Persekutuan boleh menyediakan bantuan kewangan dan teknikal, tanggungjawab utama masih terletak bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Jelas beliau, cadangan ini tidak boleh dilaksanakan secara langsung kerana hal berkaitan sungai, saliran dan sumber air adalah bawah bidang kuasa negeri, seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Untuk penyaluran peruntukan tetap secara tahunan kepada semua negeri memerlukan penelitian mendalam dari sudut dasar dan perundangan bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan peruntukan perlembagaan sedia ada," katanya semasa sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.
Ketika menjawab cadangan mewujudkan sistem khusus bagi pengurusan sungai yang menyamai Sistem Maklumat Rekod Jalan Malaysia (MARRIS), beliau memaklumkan kementerian sedang meneliti pendekatan terbaik ke arah pembangunan sistem pengurusan lebih bersepadu dan berkesan pada masa hadapan.
MARRIS diwujudkan berdasarkan Perkara 100(9)(b) Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan pemberian kewangan daripada Kerajaan Persekutuan kepada negeri-negeri bagi tujuan penyenggaraan jalan negeri, berdasarkan data panjang dan lebar jalan yang diselaras Jabatan Kerja Raya.