KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Kerajaan tidak lagi meluluskan permohonan daripada syarikat korporat, individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengeluarkan nombor pendaftaran khas (NPK) kenderaan bagi tujuan menjana keuntungan, jelas Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah
Dasar itu katanya, sejajar dengan keputusan Jemaah Menteri pada 17 Ogos 2022 yang menetapkan supaya kebenaran pengeluaran dan penjualan plat khas tidak lagi diberikan kepada mana-mana entiti bagi tujuan komersial.
"Kriteria dasar semasa Kementerian Pengangkutan iaitu memberhentikan pengeluaran/kebenaran penjualan Nombor Pendaftaran Khas (NPK) kepada NGO/syarikat korporat adalah dikekalkan seperti mana yang diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 17 Ogos 2022, tiada lagi keputusan yang akan diberikan kepada pengeluaran NPK yang bertujuan memanfaatkan mana-mana syarikat, individu dan NGO dan bagi tujuan perniagaan yang menjana keuntungan bagi pihak berkenaan," kata beliau ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Jelas Hasbi, sebaliknya kerajaan kini hanya membenarkan bidaan nombor pendaftaran istimewa (NPI) melalui platform dalam talian JPJeBid, dengan hasil kutipan disalurkan terus ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan untuk dimanfaatkan rakyat.
Sejak diperkenalkan pada 2023, sebanyak RM110,069,150.00 telah dikutip di mana sebahagiannya digunakan untuk program berpaksikan rakyat seperti Bantuan Lesen Memandu Percuma, Program Penukaran Topi Keledar Percuma, Bantuan Subsidi FlySiswa, Caruman Percuma di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri dan program peningkatan promosi keselamatan jalan raya.
Langkah itu memperkukuh ketelusan kerajaan dalam mengurus hasil negara, sambil memastikan manfaat terus sampai kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif keselamatan dan kebajikan.