fb fb fb fb fb

Tanah runtuh: Potensi mangsa ditemukan selamat tipis - Bomba

(Dua lagi mangsa ditemukan meninggal dunia dalam operasi SAR hari ini)

BATANG KALI, 17 DisemberPasukan mencari dan menyelamat (SAR) insiden tanah runtuh di sini yang memasuki hari kedua hari ini sedang giat mengenal pasti lokasi 10 mangsa yang masih hilang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis tidak menolak kemungkinan masih ada mangsa yang selamat sekiranya mereka berpaut kepada batu atau pokok.

Bagaimanapun, Norazam berkata peluang menemukan mereka dalam keadaan hidup amat tipis susulan keadaan runtuhan yang besar.

"Sudah masuk hari kedua, secara kasarnya, peluang mangsa yang ditimbus tanah untuk ditemukan selamat 99.9% adalah agak tipis berikutan semakin kekurangan oksigen.

"Namun, jika mereka sempat berpaut pada pokok atau terselit di celah batu besar yang mempunyai ruang udara, itu mungkin boleh (ditemukan selamat),” katanya dalam sidang media di sini.

Dalam masa yang sama, Norazam berkata operasi SAR hari ini turut melibatkan tujuh ekor anjing pengesan (K9) daripada JBPM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"K9 berkenaan mempunyai kepakaran untuk mengesan mayat yang berada di bawah timbunan tanah, batu-batuan serta air.

"Seramai 135 petugas SAR yang pakar dengan kejadian tanah runtuh dikerah ke lokasi runtuhan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku, selain memastikan keselamatan pasukan bertugas," katanya.

Norazam menambah, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku gelongsoran tanah susulan terdapat pergerakan kerana aliran air bawah tanah serta keadaan tanah yang lembut.

Operasi SAR hari ini menemukan dua lagi mangsa meninggal dunia menjadikan angka korban meningkat kepada 23 orang, manakala 10 orang lagi masih hilang.

Seramai 94 individu terlibat dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku pada awal pagi Jumaat.

(Bomba tidak menolak kemungkinan masih ada mangsa yang selamat sekiranya mereka
berpaut kepada batu atau pokok)

Media Baharu