fb fb fb fb fb

Tambahan kuota haji, Malaysia masih menunggu kelulusan Arab Saudi

(FOTO HIASAN)

IPOH, 2 Oktober - Malaysia masih menunggu kelulusan kerajaan Arab Saudi berhubung rayuan tambahan kuota haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar berkata Malaysia telah mengemukakan rayuan sebanyak dua kali iaitu pada bulan Januari dan Februari lalu berhubung isu tersebut.

Jelas Mohd Na'im, pihaknya faham kegusaran pendeposit Tabung Haji (TH) yang perlu menunggu giliran bagi menunaikan ibadah haji terlalu lama.

(Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar / FOTO BERNAMA)

"Kita buat rayuan dan kita minta kepada kerajaan Arab Saudi untuk mempertimbangkan sebab memang tidak dinafikan rakyat kita memang bersemangat untuk menunaikan haji cuma kita punya kekangan mengikut kuota tersebut. Jadi, bagi pihak saya, saya masih lagi berurusan dan kita masih menunggu jawapan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas program Rahmah Madani bersama mangsa bencana ribut kawasan Tambun, di sini.

Tambah Mohd Na'im, kuota terbabit ditetapkan kerajaan Arab Saudi iaitu satu peratus mengikut jumlah penduduk dan kuota untuk Malaysia ialah 31,500 orang.

Katanya, memandangkan jumlah tersebut agak sedikit, TH perlu berlaku adil dan memilih bakal haji mengikut giliran pendaftaran.

Setakat ini terdapat seramai sembilan juta pendeposit Tabung Haji di Malaysia.

Media Baharu