fb fb fb fb fb

Tambah baik laluan JRTB, pertimbang bina jajaran baru

Foto Bernama

IPOH, 11 Jun - Kerajaan negeri Perak bercadang untuk menambahbaik laluan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) yang menghubungkan negeri itu dengan Kelantan selain mempertimbang pembinaan jajaran baharu.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara tersebut telah dibangkitkan dalam Mesyuarat Mingguan Exco hari ini dimana kertas cadangan itu akan dibentangkan kepada kerajaan Persekutuan untuk sokongan dan tindakan susulan.

"Sudah tiba masanya untuk dilihat semula jajaran JRTB kerana jalan tersebut sebahagiannya sudah nampak dasar tanah. Jadi, mustahil untuk ditampal. Pembaikan harus dilihat secara keseluruhan," katanya kepada pemberita pada Majlis Penutupan Hari Eksport Perak 2025, di Ipoh.

Katanya, kajian perlu dilakukan bagi keseluruhan laluan tersebut berikutan tempoh konsesi bagi jalan raya berkenaan telah tamat sejak 40 tahun lalu.

Sementara itu, satu lagi kertas cadangan akan dikemukakan berkaitan keperluan menaik taraf Hospital Gerik serta menambah bilangan pakar perubatan dan fasiliti kesihatan di kawasan laluan berkenaan.

Tambahnya, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) bertanggungjawab untuk menyediakan kertas cadangan tersebut.

Ujarnya, kedua-dua kertas cadangan itu akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijangka hadir ke Program MADANI Rakyat di Lumut pada 15 Jun ini.

Terdahulu, seramai 15 orang disahkan maut dalam satu kemalangan melibatkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dan sebuah kereta di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Isnin lalu.

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM