fb fb fb fb fb

Nahas pelajar UPSI: Sultan Pahang titah masjid anjur solat jenazah ghaib

Foto fail

KUANTAN, 12 Jun - Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua masjid di negeri itu menganjurkan solat jenazah ghaib untuk pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik, Perak.

Mufti Pahang Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim dalam satu kenyataan berkata, baginda menitahkan solat jenazah ghaib, bacaan Yasin dan tahlil diadakan selepas solat Maghrib, hari ini.

"Semoga kita sama sama mendoakan dalam majlis tersebut kesejahteraan dan kesembuhan kepada mangsa yang masih dirawat, dan mendoakan semoga negeri Pahang secara khususnya dijauhkan daripada segala bencana alam dan kemudaratan," katanya.

Pada awal pagi Isnin lepas, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih, Terengganu ke kampus utama Tanjung Malim, Perak terbalik selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Alza di JRTB.

Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang kereta Perodua Alza.

TETITIA YUSOFF