fb fb fb fb fb

Taman sukan ekstrem bakal dibina di Tanjung Bidara

MASJID TANAH, 17 September - Satu taman sukan ekstrem akan dibangunkan di Tanjung Bidara, Melaka, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Katanya, perkara itu adalah antara usaha kerajaan negeri untuk mengembalikan kegemilangan Tanjung Bidara sebagai sebuah pusat peranginan yang popular.

Taman itu juga akan menjadi tempat tumpuan pelbagai program dan aktiviti sukan lasak.

Malah, litar sukan kereta kawalan radio jarak jauh (RC) bertaraf antarabangsa dan Taman Karavan juga akan dibangunkan di kawasan itu.

"Kita cuba merencana dan merangkaikan program untuk menjadikan kawasan ini sebagai kawasan 'extreme park' untuk anak muda dan pelbagai aktiviti anak muda, umpanya litar lumba kereta 'remote control' bertaraf antarabangsa juga akan kita bina di sini, jadi kita akan ada taman karavan untuk mengembalikan semula kegemilangan Tanjung Bidara sejak zaman 70an dulu," kata Ab Rauf, di sini.

(Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bercakap kepada pemberita selepas
merasmikan program Jelajah Fit Malaysia peringkat negeri Melaka di Tanjung Bidara, di sini)

Bagaimanapun beliau berkata, seiring dengan cadangan pembinaan itu rakyat juga perlu memanfaatkan sepenuhnya taman sukan dan kawasan riadah yang ada di Melaka.

Sementara itu, seramai 10,000 peserta memeriahkan Program Jelajah FIT Malaysia di Melaka yang berlangsung, di Tanjung Bidara.

Ab Rauf berkata, aktiviti sukan bukan sahaja dapat mempromosikan gaya hidup sihat malah berupaya mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Beliau amat menggalakkan penganjuran program sukan dalam skala kecil yang dilakukan di kawasan kejiranan atau di kawasan kampung bagi membudayakan gaya hidup sihat.

"Rakyat tempatan yang duduk di sekitar Tanjung Bidara juga datang ke program Fit Malaysia ini dalam pelbagai program yang telah disediakan Kementerian Belia dan Sukan, saya amat menghargai hari ini rakyat Tanjung Bidara dan seluruh peserta-peserta dapat meraikan hari Fit Malaysia yang terbaik yang saya lihat dapat memberikan manfaat dan menjalinkan silaturrahim di antara kita di DUN Tanjung Bidara ini," kata Ab Rauf , di sini.

Pelbagai aktiviti sukan diadakan pada program tersebut antaranya berbasikal, Muay Thai, Silat, pertandingan larian dan senamrobik.


Media Baharu