NIBONG TEBAL, 17 September - Persatuan Karyawan Pulau Pinang menganjurkan Apresiasi Puisi Merdeka di Universiti Sains Malaysia (USM), dalam usaha memartabatkan seni puisi agar selari dengan seni-seni lain.
Program itu melibatkan penyair-penyair jemputan dan tempatan dalam kalangan guru serta ahli-ahli persatuan tersebut.
Persiden Karyawan Pulau Pinang, Datuk Dr. Sohaimi Abdul Aziz berkata, menerusinya juga orang ramai dapat memahami fungsi kepelbagaian jenis puisi dalam mengungkapkan semangat patriotik.
"Selama ini apabila bercakap tentang puisi orang akan kata sajak, sajak saja digunakan untuk mengungkap semangat patriotik, tetapi pada malam ini kita memperlihatkan bagaimana pantun boleh digunakan, syair dan gurindam digunakan, jadi ini adalah satu yang baik," kata, Dr. Sohaimi di sini.
(Persiden Karyawan Pulau Pinang, Datuk Dr. Sohaimi Abdul Aziz)
Turut hadir Tuan Yang Terutama Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Pada majlis sama, pihaknya turut melancarkan buku Interaktif Ghazal Malaysia dalam usaha memperkenalkan seni tersebut kepada orang ramai.