fb fb fb fb fb

66 bot berhias meriahkan sambutan Hari Malaysia

 

YAN, 17 September- Perarakan 66 buah bot nelayan membawa bendera Jalur Gemilang dan bendera Negeri Kedah memeriahkan Program Santai Geopark @ Jambatan Pulau Bunting, di Daerah Yan, Kedah, pagi tadi.

Program bersempena sambutan Hari Malaysia peringkat Daerah Yan tahun 2023.

Pegawai Daerah Yan, Mohamad Subhi Abdullah berkata, walaupun berdepan cuaca tidak menentu ketika ini, namun ia tidak menghalang mereka untuk menghiasi bot masing-masing dengan bendera Jalur Gemilang dan Negeri Kedah bagi memeriahkan perarakan kali ini.

Beliau berkata semangat patriotisme dan cintakan tanah air jelas terpancar di wajah para nelayan yang menyertai perarakan yang julung-julung kali diadakan di daerah itu.

Katanya, kesemua nelayan tersebut merupakan nelayan dari daerah Yan yang beroperasi di beberapa buah jeti seperti Kuala Sedaka, Kuala Sungai Udang dan Kuala Sala.

“Mereka berlepas dari beberapa kuala sekitar daerah Yan antaranya Kuala Sala, Kuala Sungai Limau, Kuala Sedaka dan Kuala Dulang, Yan.

"Kita gembira kerana komuniti nelayan daerah Yan sendiri turut sama-sama meraikan sambutan pada hari ini walaupun cuaca yang tidak menentu.

"Alhamdulillah semua memberikan komitmen yang tinggi untuk menjayakan program pada hari ini,"katanya kepada RTM selepas merasmikan program berkenaan di atas jambatan Pulau Bunting.

Sempena program itu, pelbagai aktiviti turut diadakan melibatkan kehadiran lebih seribu pengunjung dan peserta program.

Antaranya, fun walk, senamrobik, kuiz kenegaraan, geopark talk dan cabutan bertuah.


(Pegawai Daerah Yan, Mohamad Subhi Abdullah ketika ditemu bual wartawan RTM)

Media Baharu