KULAI, 17 September- Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mengkaji semula pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan memberi tumpuan kepada pemerkasaan terhadap undang-undang jenayah siber dan media sosial.
Timbalan Menteri KKD Teo Nie Ching berkata, akta itu perlu dikaji selepas digubal tahun 1998 bagi memastikan peruntukan yang digubal dan diluluskan oleh parlimen mencukupi untuk mengenakan tindakan terhadap jenayah siber di media sosial.
Usaha itu bagi meningkatkan tanggungjawab penyedia perkhidmatan media sosial selain mendidik pengguna bagi perkhidmatan itu terhadap penciptaan kandungan digital.
Pindaan berkenaan akta itu diharap dapat dibentangkan di parlimen pada sesi hujung tahun ini atau awal tahun depan.
"Penyedia perkhidmatan media sosial tidak boleh lepas tangan berkenaan perkara yang timbul disebabkan pengguna. Jadi penyedia perkhidmatan perlu bertanggungjawab ke atas perkara berbangkit," katanya selepas menghadiri tayangan filem Malbatt Misi Bakara di sini.
Justeru itu, ia memerlukan kerjasama dengan pemegang taruh berhubung kajian dan pindaan akta tersebut.
Dalam perkembangan lain, dua peranti satelit Starlink telah dipasang di Bau dan Julau, Sarawak bulan ini.
Ia menjadikan, tujuh peranti satelit itu sudah dipasang setakat ini termasuk di Johor, Perak, Negeri Sembilan dan Selangor.
Teo berkata, pihaknya akan memasang tiga lagi peranti satelit tersebut di Sabah dan sedang mengenal pasti lokasi bersesuaian.
"Kami akan memperluaskan lagi pemasangan peranti satelit Starlink di Sabah dan Sarawak kerana kebanyakan kawasan pedalaman sukar untuk mendapat capaian internet," katanya.
Satu unit peranti satelit Starlink berspesifikasi tinggi mampu memberi dalam lingkungan kira-kira 100 meter namun ia turut bergantung kepada tempat pemasangannya.
(Teo Nie Ching)