JOHOR BAHRU, 17 September- Johor menyasarkan 58 lokasi bagi pelaksanaan program Hari Pembersihan Sedunia (WCD) selama sembilan hari sehingga 24 September.
Inisiatif WCD yang selaraskan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu diharap dapat memberi impak tinggi dalam mengubah minda masyarakat agar lebih bertanggungjawab, prihatin dan beretika terhadap kebersihan dan alam sekitar.
(Pengarah SW Corp Negeri Johor, Cairul Hisham Jalaluddin)
Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SW Corp) Negeri Johor, Cairul Hisham Jalaluddin berkata sebanyak 58 agensi turut berkerjasama dengan penyertaan 1,452 sukarelawan hero kebersihan.
"Tahun ini ada peningkatan lebih 50 peratus, tahun lepas terdapat 38 sahaja agensi berdaftar tahun ini ada 58. Alhamdulillah sambutan tahun ini agak memberangsangkan dan ini juga selaras program Johor Bersih yang dicetuskan oleh Menteri Besar Johor sendiri, setiap hari Ahad satu program pembersihan dilaksanakan di mana-mana lokasi negeri Johor", katanya.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran program hari pembersihan sedunia (WCD) di Kampung Pasir Gudang Baru, Johor Bahru.
Usaha dilakukan ini juga selari dengan inspirasi menjadikan Johor sebagai sebuah negeri bersih dan selamat menjelang 2030.