(Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry semasa menghadiri G77+China di Havana, Cuba)
KUALA LUMPUR, 17 September- Malaysia bersedia bekerjasama rapat dengan Sidang Kemuncak Ketua-ketua Negara dan Kerajaan Kumpulan 77 dan China (G77+China) dalam usaha untuk pembangunan ekonomi, keamanan dan kemakmuran yang mampan.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam kenyataannya berkata sebagai salah satu ahli pengasas Kumpulan G77, Malaysia amat berbangga dengan kemajuan yang dicapai oleh G77+China dalam isu-isu penting buat negara membangun.
Beliau berkata Malaysia akan terus memainkan peranan dalam menyokong negara-negara membangun atau Dunia Selatan.
(Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir)
"Pertama, Malaysia telah mengukuhkan komitmen dengan Kerjasama Selatan-Selatan melalui pembaharuan terma kerjasama Pusat Sains, Teknologi dan Inovasi Antarabangsa untuk Kerjasama Selatan-Selatan (ISTIC) di Kuala Lumpur. Pusat tersebut adalah di bawah naungan UNESCO sejak 2008" menurut kenyataan itu.
Sehingga kini, ISTIC-KL telah menyumbang kepada Kerjasama Selatan-Selatan melalui lebih 30 Program Latihan STI dengan rakan kongsi strategik dan memanfaatkan lebih 1,000 peserta dari hampir 100 negara.
"Kedua Malaysia juga telah memupuk budaya Sains Terbuka dengan menjadikan penyelidikan saintifik dan data dapat diakses oleh semua. Konsep Sains terbuka secara praktikal ini akan mempercepatkankan kadar penemuan, menggalakkan inovasi dan menangani cabaran yang dihadapi oleh masyarakat.
"Dalam konteks ini, baru-baru ini Malaysia telah melancarkan Platform Sains Terbuka Malaysia (MOSP) pada Mei 2023", katanya.
Malaysia juga akan terus mengalu-alukan penyertaan negara-negara membangun dalam Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), yang merupakan platform bagi perkongsian pengalaman dan kepakaran dalam pembangunan.
Pada 15 hingga 16 September lepas, Datuk Seri Dr Zambry mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetuai delegasi Malaysia ke G77+China di Havana, Cuba.