fb fb fb fb fb

IRCIEF-UIS terima Anugerah Global Islamic Finance Award (GIFA) di Senegal

(Pengarah IRCIEF-UIS, Dr Latifa Bibi Musafar Hameed menerima anugerah
dari Pengerusi GIFA 2023, Prof. Dr Humayon Dar di Senegal)

BANGI, 17 September- Pusat Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam (IRCIEF), Universiti Islam Selangor (UIS) mengungguli Anugerah Terbaik Penyelidikan dan Pembangunan dalam Kewangan Islam 2023 (Best Research and Development in Islamic Finance Award) di 13th Global Islamic Finance Award (GIFA) 2023 yang berlangsung di Dakar, Senegal, semalam.

Jawatankuasa Anugerah Global Islamic Finance Award 2023 (GIFA) menilai pencalonan berdasarkan tiga faktor utama iaitu Tanggungjawab Sosial untuk etika dan sumbangan komuniti, Kepatuhan kepada Shariah untuk pematuhan terhadap piawaian Shariah, dan Komitmen kepada Perbankan dan Kewangan Islam yang dinilai dengan skor berbeza berdasarkan jenis institusi.

Majlis Penganugerahan tersebut turut menghimpunkan penerima-penerima anugerah dari pelbagai pemain dalam industri kewangan Islam dari seluruh dunia untuk kategori yang berbeza.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Pengerusi GIFA 2023, Prof. Dr. Humayon Dar, ketika Global Islamic Finance Summit (GIFS) 2023 berlangsung.

Presiden Republik Senegal, Macky Sall yang hadir sebagai tetamu Kehormat turut menerima Anugerah Kepimpinan (13th Global Islamic Finance Award) dalam majlis berkenaan.


(Penerima Anugerah GIFA 2023)

Pengarah IRCIEF-UIS, Dr Latifa Bibi Musafar Hameed dan Ketua Unit Penyelidikan dan Jaringan Industri IRCIEF-UIS, Ahmad Yani Ismail, hadir dalam majlis berkenaan bagi menerima anugerah tersebut.

“Kami gembira dengan pengiktirafan yang diberikan oleh GIFA dan berharap banyak lagi sumbangan IRCIEF dapat dilaksanakan dengan sinergi banyak pihak. Ini adalah komitmen kami untuk mencapai kecemerlangan dalam industri ekonomi dan kewangan Islam demi kemaslahatan ummah diperingkat nasional dan antarabangsa”, katanya dalam kenyataan.

IRCIEF yang aktif dengan pelbagai penyelidikan berkaitan ekonomi dan kewangan Islam pernah menerima anugerah lain seperti pingat emas bagi inovasi Sadaqa House yang telah di laksanakan oleh Bank Islam Malaysia Berhad sebagai memenuhi tanggungjawab sosial terhadap komuniti umum dan Kewangan Islam. Hasil kerjasama baik ini, Sadaqa House Bank Islam telah beroperasi sejak tahun 2018.

Disamping itu, IRCIEF turut menganjurkan Kursus Jangka Pendek Sijil Shariah Perbankan dan Kewangan Islam yang dijalankan selama 3 bulan sebagai inisiatif untuk menyumbang kepada pembangunan sumber manusia dalam industri Kewangan Islam.

Kursus ini terbuka kepada golongan profesional dalam bidang perbankan, takaful, akademia, pekerja pelbagai agensi mahupun orang awam. Kursus-kursus ini telah melahirkan lebih 100 penerima sijil untuk enam kohot.

Media Baharu