GUA MUSANG, 26 Oktober- Taman Perumahan MGH dekat Bandar Gua Musang, Kelantan diceroboh seekor gajah lapar ke kawasan tersebut pada awal pagi hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, kelibat gajah liar yang membawa buah kelapa dirakam oleh sistem televisyen litar tertutup (CCTV) rumah seorang penduduk di kawasan tersebut.
Seorang penduduk di situ Muhamad Faez Azmi berkata, ketika kejadian dia sedang tidur dan tersedar apabila mendengar bunyi gajah liar. Katanya, dia terus keluar ke beranda rumah dan melihat gajah tersebut sedang berkeliaran di hadapan rumahnya.
"Depan rumah dalam pukul 4.30 bunyi bising dengan bawa kelapa dekat mulut. Ketika kejadian saya tidur di tingkat atas.
"Selepas dengar bunyi bising saya bangun dan tengok tengok ada gajah depan rumah. Kuat juga bunyinya, seekor sahaja, tapi tidak pasti sebab bukan tengok dari jarak dekat. Nampak ada gading dia," katanya.
Bagi Ruzaini Bakar, dia merasakan agak risau dengan kejadian seperti itu kerana khuatir mengganggu penduduk setempat.
"Terkejutlah, takut pun ada. Saya risau kalau gajah tu datang lagi. Umi duduk dekat sini tahun 2000, sekarang 2023. Pertama kali nampak gajah masuk dekat kawasan taman ini.
"Kita harap Perhilitan datang untuk memantau kawasan ini pada waktu malam. Pokok kelapa pun tumbang, tinggal kesan tahi sahaja," katanya kepada RTM.
Bagaimanapun Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani mengesahkan menerima aduan daripada penduduk di perumahan terbabit. Mohamad Hafid berkata, anggotanya telah bergerak ke tempat kejadian untuk meninjau keadaan tersebut.