PUTRAJAYA, 10 Oktober - Sebanyak 336 kes kecenderungan membunuh diri direkod daripada 59,860 panggilan yang rekod menerusi Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental atau Talian Heal 15555 bagi tempoh 2022 hingga kini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, 59 peratus atau 35,590 daripada jumlah tersebut memerlukan sokongan segera dari segi bantuan emosi.
"Daripada tingkah laku yang ada kecenderungan itu, kita dapati idea untuk bunuh diri ada 138 kes," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024 di Putrajaya
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) memandang serius isu kesihatan mental dan langkah intervensi menyelamatkan mereka perlu dipertingkat.
Tambahnya, sebanyak 24,270 panggilan pula memerlukan intervensi khusus membabitkan ‘psiko pendidikan positif’ berkaitan mengurus dan kaunseling.
Selain itu, Datuk Seri Dzulkefly berkata, KKM bersama Kementerian Sumber Manusia telah membangunkan modul Pertolongan Cemas Psikologi Pekerjaan (OPFA) untuk melatih pekerja industri dalam aspek penjagaan kesihatan mental kendiri dan bantuan awal psikologi di tempat kerja.
“KKM juga membangunkan program Komuniti Minda Sejahtera atau singkatannya K-MindSet untuk memperkasakan masyarakat tentang kesihatan mental,” katanya.