fb fb fb fb fb

Takungan air di tiga empangan MADA mencukupi

FOTO MADA

ALOR SETAR, 17 Mac- Paras takungan air di tiga empangan seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) masih pada paras selesa dan mencukupi bagi menampung keperluan sumber air pengairan aktiviti tanaman padi dan kegunaan domestik sepanjang musim El Nino.

MADA menerusi kenyataan berkata, sehingga hari ini, jumlah keseluruhan takungan ketiga-tiga empangan MADA adalah sebanyak 887,920 ekar kaki bersamaan 72.60 peratus.

Kapasiti takungan Empangan Pedu adalah sebanyak 625,000 ekar kaki bersamaan 71.43 peratus, Empangan Muda sebanyak 58,750 ekar kaki bersamaan 47 peratus dan Empangan Ahning sebanyak 204,170 ekar kaki bersamaan 91.56 peratus.

Ketika ini, 77.3 peratus tanaman padi bagi musim 2/2023 di Kawasan Muda telah dituai. Penggunaan air untuk tujuan pengairan adalah pada tahap minimum.

“Sebagai rekod, jumlah turunan hujan di Kawasan Muda sehingga semalam merekodkan bacaan lebih rendah iaitu sebanyak 59 mm berbanding jumlah purata turunan hujan 20 tahun iaitu 164 mm”, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Walaupun jumlah takungan air di empangan sedikit berkurangan, namun ianya masih memuaskan untuk permulaan aktiviti tanaman padi bagi musim 1/2024 yang akan bermula pada April ini.

Jelas MADA, bagi menghadapi fenomena El Nino yang dijangka berterusan sehingga Jun ini, pihaknya tetap mengambil langkah berjaga-jaga dan melakukan tindakan segera.

Ia termasuk memaksimumkan penggunaan stesen pam guna semula bagi menjimatkan air dari empangan serta menjalankan operasi membekalkan air pengairan secara penggiliran mengikut keperluan aktiviti persawahan di setiap wilayah berdasarkan fasa tanaman sehingga aktiviti Musim 2/2023 selesai sepenuhnya pada penghujung Mac ini.

“Para peladang dinasihatkan menguruskan air di peringkat sawah secara berhemah bagi memastikan bekalan air dapat diagihkan dengan sempurna dan mengelakkan pembaziran", katanya.

Pihak MADA juga mengingatkan agar peladang tidak melakukan aktiviti pembakaran jerami padi secara terbuka yang boleh menyebabkan kenaikan suhu panas dan pencemaran alam sekitar.

ROSLINA BINTI DIN