fb fb fb fb fb

Malaysia–Afrika Selatan sedia teroka fasa baharu kerjasama ekonomi

Foto Bernama

JOHANNESBURG, 21 November - Perniagaan di Malaysia dan Afrika Selatan berpeluang untuk membentuk fasa seterusnya dalam kerjasama ekonomi dua hala.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, asas perindustrian Afrika Selatan yang pelbagai, disokong oleh sistem logistik kukuh, sistem kewangan maju dan tenaga kerja mahir, menyediakan asas paling baik untuk kerjasama lebih meluas.

“Kami melihat potensi yang kukuh dalam sektor bernilai tinggi, termasuk ekosistem automotif dan kenderaan elektrik (EV), integrasi rantaian nilai perlombongan dan mineral, pembangunan industri halal, petrokimia, pemprosesan pertanian, tenaga boleh baharu, teknologi digital dan logistik,” katanya pada Forum Perniagaan bersama Peneraju Industri Afrika Selatan yang menyaksikan penyertaan daripada 200 syarikat.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Perdagangan, Industri dan Persaingan Afrika Selatan, Alexandra Lilian Amelia Abrahams serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Mohd Mustafa Abdul Aziz dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Afrika Selatan Datuk Yubazlan Yusof.

Datuk Seri Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata syarikat Malaysia seperti PROTON, Sime Darby, UEM Sunrise, Country Heights dan MR D.I.Y. telah mewujudkan operasi mereka di Afrika Selatan, menunjukkan keyakinan terhadap pasaran dan trajektori pertumbuhan negara itu.

“Kami mengalu-alukan syarikat Afrika Selatan untuk meneroka peluang yang luas di Malaysia dan juga di ASEAN. Dalam perkara ini, Malaysia boleh menjadi pintu masuk strategik yang menghubungkan keupayaan perindustrian Afrika Selatan dengan permintaan, teknologi dan rantaian nilai dengan pertumbuhan tinggi di Asia,” kata Perdana Menteri.

Anwar turut menekankan bahawa transformasi ekonomi Malaysia meletakkan kemampanan sebagai teras pembangunan perindustrian.

Selain memacu inisiatif tenaga boleh baharu, teknologi hijau, pembangunan hidrogen, ekosistem EV dan ekonomi kitaran.

Ia sejajar dengan keutamaan Afrika Selatan sendiri mengenai peralihan tenaga dan tenaga boleh baharu.

AZRUL FAIZAL JUSOH