KUALA LUMPUR, 21 November – Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) menganjurkan IDFR Networking Hi-Tea 2025 sebagai tanda penghargaan kepada rakan-rakan strategik yang sentiasa menyokong pelaksanaan program latihan institut berkenaan.
Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan IDFR, Datuk Agus Salim Yusof berkata majlis berkenaan menghimpunkan kira-kira 200 tetamu, termasuk duta asing, pegawai kedutaan, pegawai kanan Wisma Putra, penceramah jemputan, wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), media dan ahli akademik.
Menurut beliau, tahun 2025 merupakan antara tahun paling sibuk bagi IDFR dengan hampir 80 kursus dianjurkan, termasuk latihan khas sempena Kepengerusian ASEAN 2025.
Kursus tersebut melibatkan pegawai protokol, pegawai pencatat serta pegawai keselamatan daripada pelbagai kementerian dan agensi.
“Tahun ini sahaja, kami telah menganjurkan lapan kursus untuk pegawai kerajaan Timor-Leste dalam bidang diplomasi dan pengendalian mesyuarat ASEAN. Sebagai bakal anggota penuh, mereka perlu memahami prosedur dan proses kerja setiap mesyuarat,” katanya selepas majlis IDFR Networking Hi-Tea 2025 di sini.
Beliau menegaskan bahawa IDFR komited membantu pembangunan kapasiti Timor-Leste sebagai anggota ASEAN baharu melalui penganjuran kursus-kursus berkaitan diplomasi dan pengurusan mesyuarat.
Mengulas perancangan tahun hadapan, Datuk Agus menjangkakan IDFR akan memberi tumpuan kepada penganjuran forum, syarahan umum, pelancaran buku, serta kemungkinan menganjurkan Syarahan Diraja oleh penaung IDFR, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.