KUALA LUMPUR, 21 November - Malaysia terus memperkukuh sistem tenaga yang lebih dinamik, berdaya tahan dan bersih melalui pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Ke arah itu, negara perlu mempercepatkan penerimaan teknologi agar kekal mampan sejajar peningkatan permintaan, ketidaktentuan harga global, perubahan landskap pelaburan dan desakan ke arah nyahkarbon.
Pada masa sama, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata negara kini giat memperluas tenaga boleh baharu, mengukuhkan fleksibiliti grid, memposisikan Malaysia sebagai hab hidrogen, selain melaksanakan penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) sebagai penyelesaian nyahkarbon di rantau ini.
“Kita mesti mempercepatkan penerimaan teknologi, bukan sebagai suatu pilihan mewah, tetapi sebagai nadi kepada daya saing negara. Kita perlu merangka laluan pembiayaan yang mengiktiraf nilai peralihan dalam jangka panjang, bukan sekadar pulangan segera. Dan yang paling penting, kita mesti memupuk serta memperkasa bakat yang akan mengemudi perjalanan tenaga Malaysia pada dekad akan datang dan seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Anugerah Serantau Energy Industries Council (EIC) Asia Pasifik 2025 di ibu negara.
Anugerah tersebut diadakan bagi mengiktiraf pencapaian dalam penyampaian, kepimpinan teknologi dan pertumbuhan rantaian bekalan tenaga di rantau Asia Pasifik.
Menurut Fadillah, Selain meningkatkan penggunaan teknologi, reka bentuk mekanisme pembiayaan perlu dirangka dengan mengambil kira peralihan nilai jangka panjang bukan sekadar pulangan segera; seiring dengan pesat sektor tenaga yang dipacu revolusi teknologi pendigitalan, automasi, kecerdasan buatan serta bahan api baharu
Dalam pada itu, rantaian bekalan perlu berevolusi dengan menerima teknologi baharu, piawaian baharu serta model kerjasama yang lebih dinamik agar kekal kompetitif dalam ekosistem tenaga serantau.