SUBANG JAYA, 22 November - Selangor mencatatkan RM200 juta bagi nilai rekod jualan menerusi platform e-dagang sekali gus menunjukkan peningkatan ketara penglibatan usahawan dalam perniagaan digital.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah itu membuktikan usaha pendigitalan yang digerakkan negeri semakin memberi impak positif kepada usahawan tempatan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
"Ini satu contoh bijak apabila kita mempunyai pangkalan data dengan pihak perbankan, yang dapat mempromosikan platform dalam talian mereka secara berkesan, sekali gus menggerakkan digitalisasi dalam kalangan peniaga dan penjaja,," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Selangor (HPPKS) 2025 di Putra Heights.
Pada masa sama kerajaan negeri akan terus menyediakan pelbagai bentuk sokongan termasuk latihan dan bantuan pemasaran bagi membantu lebih ramai peniaga memanfaatkan peluang pasaran digital.
Bertemakan Penjaja dan Peniaga Kecil Pemacu Ekonomi Digital Selangor, program itu memberi tumpuan kepada peningkatan penggunaan teknologi serta transaksi digital dalam kalangan peniaga kecil.