fb fb fb fb fb

Taktik seludup minyak berjaya dihidu KPDN Kedah

Foto KPDN Kedah

BUKIT KAYU HITAM, 7 Februari- Mengisi minyak di stesen minyak berlainan di sekitar kawasan sempadan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, taktik tersebut berjaya dihidu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah yang melakukan Ops Tiris: Operasi Bersepadu Bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kedah bagi membanteras aktiviti penyelewengan minyak diesel.
  
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin dalam kenyataan memaklumkan, pemantauan dan pemeriksaan dijalankan di sekitar Changlon dan Bukit Kayu Hitam.
 
Sebanyak 7 stesen minyak “hotspot” telah dipantau dan beberapa kenderaan berpendaftaran Thailand dipantau pergerakan keluar masuk beberapa stesen minyak.
 
Jumlah pengisian atau pembelian diesel semasa pemantauan dilakukan adalah 20 liter sahaja bagi satu transaksi pengisian.
 
Bagaimanapun hasil pemantauan dan pemerhatian yang dilakukan selama lima jam di stesen minyak sekitar kawasan tersebut mendapati, dua buah kenderaan bernombor pendaftaran asing berada dalam keadaan mencurigakan.
 
Kenderaan terbabit telah melakukan transaksi belian minyak diesel melebihi satu transaksi di stesen minyak berbeza.
 
Maklumat tersebut kemudian disalurkan kepada pegawai di Kompleks Imigresen Kastam, Kuarantin dan Keselamatan, ICQS Bukit Kayu Hitam untuk tujuan pemeriksaan.
 
Hasil pemeriksaan yang dilakukan, terdapat 50 dan 60 liter minyak diesel di dalam tangki kedua-dua kenderaan.
 
Kedua-dua kenderaan yang dipandu seorang lelaki dan seorang wanita warga asing ditahan untuk siasatan lanjut.

ROSLINA BINTI DIN