PETALING JAYA, 7 Januari - Sebanyak 263,662 naskhah buku teks dilaporkan musnah akibat banjir melibatkan, 14,422 orang murid di seluruh negara.
Menurut Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr. Radzi Md Jidin, kesemua murid terlibat akan diberi bekalan buku teks gantian.
Jelas beliau, kementeriannya mempunyai bekalan mencukupi untuk menggantikan buku yang rosak, bagi membolehkan murid mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran minggu hadapan.
"Kepada murid-murid yang kehilangan buku teks atau buku teks mereka rosak, akibat banjir, jangan risau, anak-anak tidak perlu membayar ganti rugi atas kerosakan buku teks tersebut, mahupun menggantikan buku teks tersebut. Guru akan merekodkan jumlah buku teks yang rosak akibat banjir dan insya-Allah kita akan pastikan usaha untuk menggantikan buku teks ini dapat dilaksanakan segera..sesi sekolah minggu hadapan dapat berjalan dengan teratur dan lancar", katanya dalam klip video yang dimuat naik di Facebooknya, hari ini.
Pembukaan sesi persekolahan pada 9 Januari diteruskan bagi sekolah-sekolah kumpulan A, manakala 10 Januari bagi sekolah-sekolah kumpulan B.
Bagaimanapun, sekolah-sekolah yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara hanya akan dibuka untuk sesi persekolahan, setelah bersedia beroperasi semula.