fb fb fb fb fb

Tahun Melawat Malaysia, sasaran ketibaan lebih 26 juta pelancong asing

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 27 Oktober- Tourism Malaysia akan membantu mencapai sasaran ketibaan 26.1 juta pelancong asing sempena Tahun Melawat Malaysia yang ditetapkan semula kerajaan pada 2026.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar, usaha bagi menjadikan Malaysia sebagai negara pelancongan perlu dimulakan dari sekarang.

Menurut Ammar, pihaknya sedang mengadakan pertemuan dengan syarikat pelancongan swasta bagi membina rangkaian, sekali gus membuka peluang untuk pemain industri tempatan berkongsi berkenaan produk dan perkhidmatan mereka.

"Usaha sama begini antara kerajaan dan swasta memang kita sangat menggalakkan supaya kita boleh memberi pendedahan yang lebih banyak kepada produk-produk yang ada.

"Ini adalah satu kolaborasi yang baik antara pihak kerajaan dan swasta," kata Ammar kepada pemberita di Putrajaya.

Dalam Pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan menyediakan RM350 juta bagi merancakkan promosi dan aktiviti pelancongan supaya Malaysia menjadi destinasi pelancongan pilihan utama dunia.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM