(FOTO HIASAN)
KUALA LUMPUR, 13 Oktober- Pasaran khusus negara berpotensi besar untuk mencergaskan semula sektor pelancongan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru beliau berkata, Tahun Melawat Malaysia ditetapkan semula pada 2026 dengan sasaran 26.1 juta pelancong asing dan anggaran perbelanjaan domestik sebanyak RM97.6 bilion.
"Kerajaan menyediakan RM350 juta bagi merancakkan promosi dan aktiviti pelancongan supaya Malaysia kembali sebagai destinasi pelancongan pilihan utama dunia.
"Ini antaranya merangkumi penganjuran Kempen Melawat Malaysia 2026; kerjasama dengan industri dalam aktiviti promosi dan penganjuranacara pelancongan dalam dan luar negara; bantuan kepada lebih 200 penggiat kebudayaan dalam menganjurkan aktiviti seni dan budaya; geran padanan penerbangan carter dalam meningkatkan kemudahsampaian penerbangan antarabangsa ke Malaysia; dan dana kepada Pusat Pelancongan Islam (ITC) untuk membangunkan industri pelancongan mesra muslim di Malaysia," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat di sini.
Tambah Anwar, kerajaan juga akan perkenal inisiatif baharu di bawah Pelan Liberalisasi Visa Malaysia.
Ia melibatkan kemudahan memudah cara kelulusan Pas Penggajian bagi pelabur strategik dalam sektor utama dan memperkenalkan Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang untuk pelajar antarabangsa yang telah tamat pengajian bagi menampung keperluan tenaga mahir industri.
Selain itu dengan menambah baik kemudahan Visa-On-Arrival, paslawatan sosial dan tawaran Multiple Entry Visa bagi menggalakkan kemasukan pelancong dan pelabur terutamanya dari negara India dan China.
Kerajaan juga telah bersetuju untuk melonggarkan syarat-syarat sedia ada bagi permohonan Malaysia My Second Home (MM2H) bagi meningkatkan kedatangan pelancong dan pelabur asing ke Malaysia.
(FOTO HIASAN)