fb fb fb fb fb

Belanjawan 2024: RM72 juta perkukuh sukan negara

KUALA LUMPUR, 13 Oktober- Dalam usaha memperkukuh ekosistem atlet acara podium maka kerajaan memperuntukkan sebanyak RM72 juta pada tahun depan.

Jumlah tersebut termasuk RM20 juta untuk program Road To Gold (RTG) sebagai persediaan untuk menggapai pingat emas pertama menjelang temasya Olimpik Paris 2024.

Selain itu, pembangunan atlet para serta naik taraf kemudahan sukan turut disentuh dan mendapat perhatian pada Belanjawan 2024.


(FOTO HIASAN)

"Bagi memperkasa ekosistem atlet para, RM12 juta disediakan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk program latihan dan persediaan atlet ke temasya sukan para antarabangsa.

"Sejumlah RM50 juta ringgit disediakan bagi menyelenggara dan menaik taraf kemudahan belia dan sukan seluruh negara khususnya bagi prasarana yang daif," kata Datuk Seri Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Sementara itu, peruntukkan Geran Padanan Sukan (GPS) dinaikkan kepada RM 50 juta berbanding RM40 juta pada pengumuman Belanjawan 2023.

"Susulan sambutan tahun ini yang amat menggalakkan, kerajaan akan terus menyediakan dana geran padanan RM50 juta bagi menggalakkan penganjuran acara sukan berprestasi tinggi oleh badan sukan dan sektor swasta," katanya.

Dalam masa sama, kerajaan turut mencadangkan pelepasan cukai khusus untuk pembelian peralatan sukan dan aktiviti sukan terhad kepada RM1,000.

Media Baharu