fb fb fb fb fb

Belanjawan 2024: RM250 juta diperuntuk untuk luaskan capaian internet di Universiti Awam

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 13 Oktober - Sebanyak RM250 juta diperuntukan untuk menggantikan dan meluaskan capaian internet di semua Universiti Awam (UA).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan tersebut termasuk RM5 juta untuk melaksanakan projek pendigitalan hospital pengajar universiti.

Katanya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerima peruntukan sebanyak RM16.3 bilion menerusi Belanjawan 2024 berbanding RM15.3 bilion tahun ini.

"Bagi meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), RM300 juta disediakan untuk menyelenggara dan membaiki prasarana di IPT serta menggantikan peralatan lama yang usang.

"Ini termasuk RM50 juta bagi perolehan peralatan di empat Universiti Teknikal Malaysia," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, di sini.

Sementara itu, Anwar berkata ke arah merakyatkan ilmu, sejumlah RM5 juta disediakan bagi memberi galakan kepada komuniti rentan seperti Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal dan warga emas mengikuti Program Pembelajaran Sepanjang Hayat di kolej komuniti.

Ini katanya akan memberi manfaat kepada 5,000 komuniti tumpuan di 105 kolej komuniti di seluruh negara.

"Bagi meningkatkan tahap sosioekonomi dan mendaya upaya usahawan setempat, Kerajaan menyediakan RM1 juta kepada setiap Universiti Awam untuk memperhebat pelaksanaan Program Pengupayaan Komuniti MADANI dan Program Pemulihan Dalam Komuniti OKU," katanya.

Media Baharu