(Anwar Ibrahim)
KUALA LUMPUR, 13 Oktober- Kerajaan bersetuju untuk meneruskan pemberian rebat bil elektrik sehingga RM40 sebulan kepada isi rumah miskin tegar dengan peruntukan RM55 juta.
Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga bersetuju mengecualikan bayaran deposit akaun bil elektrik atas nama sendiri.
Dalam pada itu, bermula tahun ini, kerajaan telah melaksanakan subsidi bersasar dengan melepaskan sebahagian subsidi bagi 10 peratus penggunaan elektrik tertinggi, namun mengekalkan subsidi sama bagi 90 peratus pengguna.
Pendekatan bersasar tersebut menjimatkan lebih RM4.6 bilion daripada unjuran subsidi elektrik RM20 bilion.
"Namun, kerajaan masih menanggung subsidi elektrik RM16 bilion untuk tahun 2023 khususnya bagi pengguna di rumah, serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS)," katanya ketika membentangkan Belanjawan MADANI Kedua di Dewan Rakyat hari ini.
Jelas Anwar, pemberian subsidi elektrik secara pukal sangat membebankan dan lebih menguntungkan golongan kaya.
"Pada tahun 2022, trend menunjukkan, 10 peratus pelanggan dengan penggunaan elektrik tertinggi menikmati 50 peratus subsidi, sedangkan 50 peratus pelanggan dengan penggunaan elektrik terendah hanya menikmati 10 peratus subsidi yang diberikan," tambahnya lagi.
(FOTO HIASAN)