fb fb fb fb fb

Tahap ketersediaan perkhidmatan Aerotrain 100 peratus

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 13 Oktober - Kestabilan operasi Aerotrain di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bertambah baik apabila merekodkan ketersediaan perkhidmatan pada tahap 100 peratus, setakat Jumaat lepas.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata sehingga 8 Oktober 2025, perkhidmatan Aerotrain turut merekodkan kapasiti penumpang seramai 5.33 juta orang dengan perjalanan melebihi 39,942 kilometer sejak beroperasi semula 1 Julai lalu.

“Pihak MAHB sentiasa komited melakukan penambahbaikan untuk pastikan perkhidmatan Aerotrain dapat berjalan lancar.

"MAHB juga sentiasa memantau dengan rapat perkhidmatan Aerotrain agar perkhidmatan operasi pada tahap optimum selain akan memberi  tindak balas segera jika terdapat sebarang permasalahan,” ujar beliau ketika menjawab soalan dikemuka Ahli Parlimen Jerantut mengenai punca kegagalan penyelenggaraan Aerotrain KLIA sehingga kerap rosak serta tindakan segera kerajaan dalam memastikan pengangkutan penumpang di KLIA kembali lancar dan selamat.

Sejak 2 Julai hingga 30 September 2025, sebanyak 19 permasalahan Aerotrain direkodkan yang menjejaskan kelancaran operasi perkhidmatan.

Jelas beliau, isu isyarat Aerotrain dan tindakan penumpang yang cuba membuka pintu secara paksa menjadi antara punca permasalahan tersebut.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN