fb fb fb fb fb

Malaysia perkukuh kerjasama semikonduktor dengan Brazil

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 13 Oktober - Malaysia terus memperkukuh hubungan perdagangan dengan negara bukan tradisi sebagai langkah mempelbagaikan pasaran eksport termasuk negara anggota BRICS dan negara sedang membangun.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Liew Chin Tong berkata, usaha itu berpotensi mengurangkan kebergantungan eksport Malaysia terhadap pasaran tradisional seperti Amerika Syarikat (AS) dan mencari rakan komersial baharu.

"Malaysia akan memeterai memorandum kerjasama dalam bidang semikonduktor dengan Brazil sekali gus memperkukuh kerjasama dua hala. MITI juga sedang berunding dengan India untuk mewujudkan memorandum kerjasama berkenaan semikonduktor dan industri lain.

"Dalam konteks ini, kita juga ada hubungan baik dengan Bangladesh dan Pakistan. Ini adalah pasaran yang kita boleh tambah baik hubungan serta mewujudkan hubungan yang bukan saja dari segi eksport tetapi hubungan pemindahan teknologi," jelasnya.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kubang Pasu berhubung strategi kerajaan untuk memperluas pasaran eksport bagi memastikan Malaysia tidak terlalu bergantung kepada AS.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN