LANGKAWI, 13 Oktober - Pengumuman pelepasan khas cukai individu sebanyak RM1,000 bagi bayaran fi kemasukan ke pusat pelancongan tempatan dan program kebudayaan disambut baik oleh pemain industri serta penjaja kecil di Langkawi
Langkah itu dijangka menarik lebih ramai pelancong domestik ke pulau peranginan tersebut sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.
Pengurus Pelancongan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Dr. Azmil Munif Mohd Bukhari berkata, peningkatan jumlah pelancong akan memperkukuh ekonomi komuniti tempatan.
“Pelancong domestik mempunyai kekuatan ekonomi tersendiri. Setiap satu ringgit yang dibelanjakan di Langkawi akan memberi pulangan empat kali ganda kepada komuniti tempatan. Pengumuman oleh Perdana Menteri baru-baru ini amat dialu-alukan,” katanya.
Pandangan itu turut dikongsi oleh Ketua Pegawai Operasi Wilayah Utara MK Land, Nazri Tumin, yang menyifatkan insentif tersebut mampu melonjakkan sektor pelancongan negara.
“Kami sebagai pemain industri di Langkawi amat mengalu-alukan pengumuman itu kerana ia akan membantu merancakkan semula sektor pelancongan, bukan sahaja di Langkawi tetapi di seluruh negara,” katanya.
Bagi penjaja kecil, insentif berkenaan turut diharap dapat menambah pendapatan harian mereka.
Penjaja, Muhammad Amizam Khalid, berkata pertambahan pelancong bakal memberi manfaat secara langsung kepada peniaga kecil.
“Kami berharap lebih ramai pelancong datang ke Langkawi kerana ia dapat membantu peniaga kecil seperti kami,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penjaja, Nur Zalishah Murad bersyukur dengan langkah kerajaan memperkenalkan pelepasan cukai berkenaan.
“Kami memang bersyukur dan berharap pelancong tempatan akan terus memilih destinasi dalam negara. Ini boleh menambah pendapatan kami sebagai peniaga kecil,” ujarnya.