KUALA LUMPUR, 19 Februari- Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) hari ini mengesahkan kematian orang kena tahan (OKT) yang positif Covid-19 dan menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi, Johor.
Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, siasatan mendapati OKT itu dihantar ke hospital berkenaan sejak Rabu lalu, bagi menerima rawatan kerana demam dan muntah.
“OKT berkenaan disahkan meninggal dunia pada pukul 4.15 pagi dan dia sebelum ini ditumpangkan sementara dalam lokap polis ekoran penularan COVID-19 di penjara. Punca kematian OKT berkenaan masih tidak diketahui dan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian dalam Tahanan akan menjalankan siasatan," katanya dalam satu kenyataan.
Azri berkata, OKT itu ditahan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, Johor, mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 pada 21 Januari lalu.
“Lelaki itu direman empat hari dan didakwa di mahkamah pada 25 Januari lalu. Jamin ditawarkan, namun OKT gagal menyediakan penjamin menyebabkannya diperintahkan ditahan reman di penjara.
“Tarikh sebutan kes itu sepatutnya ditetapkan pada 1 Februari dan bicara pula pada 28 Februari ini," katanya.