FOTO BERNAMA
SEREMBAN, 19 Februari - Program memartabatkan Bahasa Kebangsaan perlu dipertingkatkan serta melibatkan penyertaan bangsa bukan Melayu.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berpandangan, keunikan yang ada pada dialek setiap negeri juga seharusnya tidak menjadi faktor penghalang dalam memartabatkan Bahasa Kebangsaan yang dilihat dapat menyatukan pelbagai bangsa.
Bahasa Kebangsaan yang menjadi pemangkin utama kepada perpaduan masyarakat dapat menghasilkan hubungan kaum dan etnik yang baik sekali gus membantu usaha kerajaan mencapai keharmonian dan kesejahteraan.
"Saya berharap bahawa dengan adanya program sebegini akan mengangkat martabat Bahasa Kebangsaan, Bahasa Melayu dan ini kita harap akan membantu generasi akan datang agar sentiasa menghargai Bahasa Kebangsaan kita," katanya pada Majlis Malam Puisi Negeri Sembilan di Hati, di sini.
Pada majlis yang sama, sebuah buku yang mengumpulkan hasil puisi para peserta pertandingan menulis dan deklamasi sajak turut dilancarkan.