fb fb fb fb fb

Pinda atau wujud akta baharu pengemis diketahui tahun depan -JKM


KUALA LUMPUR, 19 Februari- Keperluan untuk mewujudkan akta baharu atau menambah baik Akta Orang-Orang Papa 1977 dalam menangani isu pengemis hanya boleh diputuskan selepas satu kajian semakan akta berkenaan siap tahun depan.

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Rosmahwati Ishak berkata, kajian semakan akta tersebut akan dimulakan pada Julai nanti dan dijangka siap September tahun depan.

"Terdapat keperluan akta berkenaan disemak kembali bagi menetapkan hala tuju berkaitan isu pengemis dan gelandangan memandangkan pada masa kini tiada punca kuasa dan perundangan yang khusus dalam pengoperasian dan pengendalian golongan tersebut di negara ini,” katanya dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.

Jelasnya, Mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) 2019 telah memutuskan supaya suatu akta baharu yang lebih inklusif digubal untuk menangani isu gelandangan dan pengemisan secara holistik dengan mengambil kira kuasa dan peranan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Berikutan itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah mengambil inisiatif untuk menjalankan kajian semakan akta untuk meneliti isu ini dengan lebih serius dan sebagai asas bagi melihat sama ada sesuai untuk membangunkan suatu akta baharu atau menambah baik akta sedia ada.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu kelompangan akta yang menjadi antara punca Kuala Lumpur sebagai 'syurga’ pengemis seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Dalam satu laporan khas mengenai isu pengemis pada Khamis, mendedahkan akta yang berusia lebih empat dekad itu sudah lapuk dan tidak lagi sesuai untuk digunakan bagi membanteras aktiviti berkenaan berikutan berhadapan pelbagai cabaran dalam menanganinya.

Ini kerana, akta sedia ada hanya bertujuan melindungi dan memulihkan golongan tersebut serta tidak mempunyai elemen penguatkuasaan termasuk denda kepada pengemis.

Hanya segelintir gelandangan baharu dikesan di Kuantan
Di bawah akta berkenaan, pengemis yang berumur bawah 60 tahun yang tidak mempunyai waris akan ditempatkan di Desa Bina Diri (DBD) manakala bagi yang berumur 60 tahun ke atas akan dihantar ke Rumah Sri Kenangan (RSK) kelolaan JKM.

Terdapat lima institusi yang menempatkan kes orang papa termasuklah pengemis iaitu di Johor, Selangor, Pahang, Sabah serta Sarawak dan sehingga kini jumlah keseluruhan orang papa yang tinggal di institusi di bawah JKM adalah seramai 7,312 orang dari 2017 sehingga 2021.

JKM sendiri katanya turut berhadapan kekangan dalam menguatkuasakan Akta Orang-Orang Papa 1977 terutamanya melibatkan pengemis yang bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi dan juga pengemis bermusim terutamanya ketika Ramadan.

Selain itu, JKM turut berdepan cabaran membanteras pengemis warga asing yang bukan tertakluk di bawah akta tersebut tetapi di bawah bidang kuasa dan agensi lain.

Biarpun begitu, Rosmahwati berkata, sekuat mana pun akta yang akan dilaksanakan termasuklah pelbagai penguatkuasaan operasi membanteras pengemis dilakukan, ia tidak akan berkesan sekiranya masyarakat tidak berganding bahu dalam mengekang kegiatan tersebut.

Ini kerana, cabaran utama yang dihadapi JKM adalah sikap prihatin dan pemurah masyarakat yang mudah simpati dengan memberikan sumbangan kepada golongan tersebut sekali gus menggalakkan lagi aktiviti mengemis sehingga dianggap sebagai satu pekerjaan.

"Menangani aktiviti mengemis adalah tanggungjawab bersama agensi kerajaan, Pertubuhan Bukan kerajaan (NGO) dan orang awam. Oleh itu, menjadi harapan JKM agar masyarakat bersama-sama membanteras isu pengemis dengan tidak memberikan sumbangan kepada mereka sekali gus dapat mengurangkan aktiviti tersebut,” katanya.

Beliau pada masa sama turut menasihatkan agar masyarakat sewajarnya memberikan sumbangan mengikut saluran yang betul seperti Yayasan Kebajikan Negara (YKN), rumah-rumah kebajikan berdaftar, mangsa bencana, rumah ibadat atau individu yang benar-benar dikenal pasti susah.

Dalam pada itu, Rosmahwati turut menyuarakan kebimbangan mengenai budaya meminta yang ditularkan menerusi platform media sosial yang kini semakin menjadi trend kerana ia dilihat berpotensi menggalakkan aktiviti mengemis secara moden menggunakan Facebook, aplikasi WhatsApp, Twitter dan sebagainya.

Tegas beliau, sebarang bentuk permohonan sumbangan perlu mendapatkan kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Majlis Agama Islam sekiranya sumbangan tersebut berunsurkan keagamaan seperti kutipan derma khairat, kebajikan, membina masjid mahupun berkaitan pusat tahfiz.

Ketika ditanya sama ada pengemis mampu keluar daripada kepompong aktiviti berkenaan berikutan ramai yang kembali mengemis selepas keluar daripada institusi JKM, Rosmahwati berkata ia bukanlah satu perkara mustahil namun mereka perlu diberikan pekerjaan.

"Harapan JKM juga agar pihak NGO dapat melaksanakan program motivasi bagi meningkatkan jati diri mereka dan membantu mendapatkan pekerjaan kepada golongan ini.

"Malah, dalam membantu masyarakat yang susah, kerajaan ada menyediakan skim bantuan seperti Tekun dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Beliau berkata, kedua-dua agensi ini menyediakan pembiayaan kredit mikro secara mudah kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah di samping turut menyediakan bimbingan, latihan dan khidmat sokongan. -BERNAMA


Media Baharu