fb fb fb fb fb

Agensi pengurusan zakat, harus pergiat hebahan aktiviti zakat


PUTRAJAYA , 19 Februari
- Agensi Pengurusan Zakat di seluruh negara perlu lebih proaktif dalam menghebahkan segala aktiviti zakat kepada masyarakat umum di media sosial.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata hebahan itu bagi membolehkan pembayar zakat mengetahui kemana wang zakat dibelanjakan.

Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan umat Islam terhadap institusi zakat dalam membantu masyarakat.

"Cuma saya nasihatkan kepada mereka supaya benda ini dihebahkan supaya dapat dilihat gerak kerja mereka tadi sebab tu kita harapkan masyarakat berilah keyakinan kepada agensi - agensi zakat yang berada di negeri masing masing untuk membolehkan kita mengumpul kekuatan ekonomi umat Islam dalam bentuk pukal yang banyak, insya-Allah di sana banyak perkara- perkara-kebaikan untuk umat Islam," katanya.

Beliau memaklumkannya selepas sesi interaksi bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) di Putrajaya.

Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan Anugerah Zakat Kebangsaan kepada asnaf yang berjaya serta agensi pengurusan zakat yang cemerlang.

Lembaga Zakat Selangor menerima Anugerah Agensi Zakat Terbaik dalam Sistem Kutipan Zakat Kebangsaan 2021 manakala Lembaga Zakat Negeri Kedah menerima Anugerah Zakat Kebangsaan 2021 bagi kategori agensi terbaik dalam sistem agihan zakat.

Media Baharu