fb fb fb fb fb

Fenomena air surut, gamit pengunjung saksi keunikan

PULAU PANGKOR, 19 Februari- Fenomena air laut surut di Teluk Nipah, di sini yang berlaku hanya sekali dalam setahun menarik perhatian pengunjung.

Situasi itu  membolehkan pengunjung berjalan dari Pulau Pangkor ke Pulau Giam sejauh kira-kira 400 meter, menggamit kehadiran ramai ke kawasan berkenaan untuk menyaksikan keunikan yang mempesonakan itu.

Kebanyakan pengunjung terutama yang pertama kali merasai pengalaman itu, teruja dengan fenomena berkenaan.

Bagaimanapun keadaan itu hanya dapat dirasai selama sejam sahaja sebelum paras air kembali tinggi seperti biasa, mencecah empat meter, namun ia tidak menghalang kebanyakan penghujung merakam detik serta momen itu sebagai kenangan selain memuat naik ke laman media sosial masing-masing.

Seorang pengunjung Muhd Hashim Azman, tidak melepaskan peluang merasai sendiri fenomena itu.

"Apa yang menarik, kita boleh jalan kaki dan kita boleh tengok terumbu karang dan semua hidupan dalam laut kita boleh tengok lebih dekat, sangat berbaloi pengalaman ini, bukan selalu dan rasanya kesempatan ini mungkinh sekali seumur hidup buat saya," katanya ketika ditemui RTM di lokasi berkenaan.

Seorang lagi pengunjung yang ditemui, M.Anthonysamy memuji kecantikan kawasan berkenaan terutama sepanjang fenomena itu berlaku.

"Mengagumkan, sangat cantik, bila air cetek semua hidupan di dasar kita dapat tengok dengan mata sendiri, memang tak dapat digambarkan, ia pengalaman seumur hidup," katanya.

Ari Irvan Mohd Airi turut berkongsi keterujaannya merentasi lautan itu.

"Walaupun hanya sekejap, dalam masa kurang sejam, saya tetap teruja, ini pengalaman berharga, boleh nampak dan kutip ikan, kerang, dan paling takkan dapat saya lupakan, fenomena ini membolehkan kami berjalan dari pantai merentasi tengah laut berikutan kedalaman air ketika ini mencecah paras terendah, sekitar 0.2 meter sahaja," katanya.

Rata-rata pengunjung tidak melepaskan peluang merakam gambar dan video fenomena itu untuk simpanan dan kenangan.

Tinjauan RTM juga mendapati, ketika fenomena berkenaan berlaku, kawasan itu dipantau rapi dan diawasi oleh pasukan penyelamat bagi memastikan keselamatan.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pulau Pangkor Shah Al Haffiz Mohd. Redzuan berkata pasukannya sudah bersiap siaga sejak 31 Januari lalu, dengan melakukan pengawasan dan pemantauan sepanjang fenomena berlaku.

"Setiap pengunjung yang ingin merentasi laut akan dipantau bukan sahaja oleh pasukan bomba yang juga dianggotai oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), malah ada juga pasukan penyelamat lain termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM), 'beach boy' dari Persatuan Rekreasi Pangkor, anggota Rela dan polis, bertugas memantau situasi di sini.

"Orang ramai akan diarahkan berpatah balik sebaik sahaja paras air semakin tinggi," katanya.


Media Baharu