fb fb fb fb fb

Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia bakal sedia peluang pekerjaan lebih menyeluruh - PM

 

KUALA LUMPUR, 19 Februari - Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia dilancarkan hari ini bagi mendukung matlamat menurunkan kadar pengangguran di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia membuka tirai bagi tahun ini dengan menawarkan lebih 12,000 peluang kerja daripada 50 majikan pelbagai industri.

Dengan bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera”, inisiatif tersebut bakal menyediakan 600,000 peluang pekerjaan tahun ini dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM4.8 bilion.

Ia merangkumi tiga program utama iaitu Insentif Penggajian, Inisiatif Latihan dan Penempatan Jangka Pendek serta Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran.

"Program Jamin Kerja juga akan memberi tumpuan kepada usaha merangsang para majikan untuk membuat pengambilan pekerja, terutamanya dalam kalangan individu yang tidak aktif bekerja seperti golongan penganggur, golongan rentan seperti orang kurang upaya (OKU), bekas banduan, warga emas dan golongan wanita menganggur bagi tempoh berpanjangan, untuk memastikan tiada golongan dipinggirkan," katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Inisiatif Jamin Kerja di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.

Menurut Ismail, insentif turut diberikan kepada majikan yang mengambil tenaga kerja tempatan bagi mengisi jawatan yang kebiasaannya dilakukan oleh pekerja asing ataupun pegawai dagang.

Majikan yang layak akan menerima bantuan kewangan antara 20 hingga 40 peratus daripada gaji kasar maksimum pekerja iaitu sebanyak RM10,000 bagi tempoh setahun.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengharapkan penglibatan aktif daripada semua pihak bagi menggalakkan lebih ramai pelajar dan graduan baharu mendaftar dengan Portal MYFutureJobs.

Ini termasuk pelbagai institusi daripada Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan dan Majlis Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

" Langkah ini akan membolehkan mereka peka dengan peluang kerjaya dan perkhidmatan pekerjaan lain yang ditawarkan seperti kaunseling kerjaya, karnival kerjaya dan sesi temu duga terbuka bersama majikan, pencari kerja yang ingin mendapatkan perkhidmatan padanan pekerjaan juga kini boleh menghadirkan diri terus ke pusat-pusat MYFutureJobs di seluruh negara, " kata beliau.

Portal MYFutureJobs kini menempatkan 465,379 pencari kerja dengan pekerjaan baharu, manakala kira-kira 57,791 orang perantisan yang terdiri daripada golongan pelajar dan graduan telah berjaya mendapatkan pekerjaan.

Ismail Sabri turut memaklumkan RM20.34 bilion telah disalurkan bagi membantu lebih 350,000 majikan di seluruh negara menerusi Program Subsidi Upah.

Inisiatif ini telah berjaya membantu 2.95 juta pekerja kekal dalam sektor pekerjaan, sekali gus mengurangkan kadar pengangguran dan merancakkan semula pasaran buruh negara.

"Bagi mengurangkan jurang ketidakpadanan pekerjaan dengan kelayakan pencari kerja, saya menyeru pihak industri untuk melaksanakan strategi pengambilan pekerja yang lebih baik dengan mengambil kira perubahan sosial termasuk suasana pekerjaan yang lebih fleksibel agar padanan yang lebih baik dapat diwujudkan.

" Majikan juga perlu lebih kreatif dalam memberi jaminan pekerjaan yang baik kepada para pekerja supaya mereka kekal bersama majikan tersebut," tambah beliau.

 

Media Baharu