PONTIAN, 19 Februari - Penglibatan belia di Johor terutama semasa negara dilanda pandemik COVID-19, menjadi salah satu penggerak utama kepada kejayaan pengurusan kerajaan negeri.
Menurut Menteri Besarnya, Datuk Hasni Mohamad, 'Southern Volunteers' yang dianggotai rata-rata sukarelawan belia, banyak membantu kepada kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, khususnya dalam memberi maklumat dan proses pendaftaran penerima vaksin.
Selain itu, penglibatan golongan tersebut juga membantu pengurusan yang efektif ketika Johor dilanda banjir pada Januari lalu.
Dewan Muda Johor yang bermula pada tahun ini juga merupakan salah satu platform golongan belia menyuarakan pandangan serta ketokohan mereka dalam soal pengurusan dan pentadbiran dalam kerajaan.
"Mereka terlibat melalui perbahasan yang mereka jalankan, dari segi kandungan dan topik perbahasan semasa, cerita dalam masyarakat, soal keperluan orang muda, pandangan orang muda terhadap dasar kerajaan, ini perkara sihat lebih-lebih lagi platform Dewan Muda Johor tidak bersifat politik," katanya ketika menjadi tetamu dalam program Selamat Pagi Malaysia yang berlintas langsung dari Benut, di sini.
Tambah Hasni, kerajaan negeri akan meneruskan inisiatif yang memberi manfaat kepada golongan belia pada masa akan datang, termasuk penglibatan mereka dalam bidang perniagaan.
Selain itu, menyediakan platform untuk belia melibatkan diri dalam teknologi dron menerusi pelancaran tapak ujian dron baru-baru ini.