KUALA TERENGGANU, 19 Februari - Isu kekurangan atau kehabisan stok bekalan kit ujian pantas (RTK) antigen di pasaran, tidak timbul kerana hanya melibatkan lokasi premis tertentu sahaja serta tidak menyeluruh.
Jelas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, hasil semakan dan pemeriksaan pihak kementerian mendapati masih terdapat kira-kira 18 juta set kit berkenaan dalam pasaran ketika ini.
"Jadi rakyat tidak perlu bimbang kerana ia memang cukup, cuma saya nampak kit ujian RTK ini yang kurangnya adalah tempat yang menjual pada harga yang murah, letak harga jual murah di bawah RM19.90, ada yang kedai jual bawah RM15 seperti 99 Speedmart dan sebagainya, dijual murah sebab itu habis, cepat habis tapi tempat lain ada, di farmasi-farmasi lain ada," katanya selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Batu Hampar, Manir, di sini.
Dalam pada itu, Rosol turut menasihatkan pengguna hanya membeli kit RTK antigen yang mempunyai label Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) bagi memastikan ketulenannya.
Ini bagi mengelakkan pengguna terbeli kit ujian COVID-19 tiruan.